Thursday, June 30, 2016

Bahasa.

Akan terjadi sekali-sekala, aku hanya mahu meluah tentang apa-apa yang terlintas di hati atau fikiran ini. Tidak perlu terinspirasi dari siapa-siapa atau apa-apa. Aku rasa, sekiranya perasaan itu pernah aku lalui sendiri, itulah sumber inspirasi paling besar untuk aku.

Aku cuma berfikir, yang kadang-kadang, aku ini, akan datang inspirasi-inspirasi untuk berkarya. Apabila perkataan-perkataan dan baris-baris ayat mula timbul, berlumba-lumba semuanya di minda aku. Sayang kalau tidak ditulis untuk dikenang di hari kemudian. Sudah lama aku tidak begini, sebenarnya.

Maka, aku timbulkan satu instagram untuk karya-karya ini. Satu gambar yang menjadi pencetus, dan diiringi dengan sedikit nota kecil menerangkan perihal gambar tersebut, dan kisah yang menjadi kaitan.

Instagram itu diberi nama ' inspirasiazyan'.

Dipersilakan untuk follow akaun itu.



***

Bahasa.

Sekiranya kau sememangnya mengenali aku, kau akan tahu yang aku dan bahasa sememangnya tidak boleh dipisahkan. Sejak dari kecil lagi, minat membaca sememangnya sudah mengalir dalam darah aku, dan ia sekata dengan hidup aku. Bagi aku bahasa cara yang paling mudah dan jitu untuk menyampaikan segala perasaan dan pengalaman, dan ia boleh diolah dalam segala bentuk untuk bertepatan dengan mesej yang satu.

Sewaktu aku di sekolah rendah, minat aku pada bahasa Melayu memang amat kuat, dan aku seringkali mendapat hadiah Bahasa Melayu terbaik dalam pemahaman dan penulisan. Aku terlalu amat gemar menulis. Yang aku ingat, aku dan kamus Bahasa Melayu seperti isi dengan kuku, sentiasa kami bersama-sama di mana-mana. Setiap kali cikgu lambat masuk, aku akan buka kamus tersebut dan belek, mencari perkataan baru untuk diguna dalam karya-karya aku. Dan setiap kali peperiksaan bahasa Melayu untuk karangan, idea aku selalu mencurah-curah sehingga berhelai-helai kertas akan aku pinta dari pegawai peperiksaan. Teks-teks pidato dan perbahasan aku dahulu, sememangnya aku yang karang sendiri kerana minat aku yang mendalam. Sebut sahaja tajuk pidato tersebut, berbaris-baris isi sudah muncul di minda aku. Aku sempat mengarang dua buku detektif setelah tamat UPSR (untuk tatapan sendiri sahaja. Tidak pernah aku cuba untuk diterbitkan.)

Sewaktu di sekolah menengah, minat aku masih diteruskan dan masih berkembang mekar namun ianya jatuh ke no 2. (selepas lelaki. *sengih*) Aku masih aktif menghantar karya-karya berupa cerpen setiap tahun ke majalah sekolah. Aku masih mengarang teks pidato aku sendiri. Dan aku mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan sajak. Mulanya dengan kebetulan, di mana cikgu bahasa Melayu aku menyuruh kami semua menulis puisi bertemakan Merdeka, dan kami perlu menghantar hasil kami sebelum masa BM tamat. Aku endah tidak endah, dan hanya menulis sajak tersebut pada 20 minit terakhir. Tidak aku sangka sajak itu menang untuk kategori peringkat menengah rendah (dan kakak aku pula, menang peringkat menengah atas).Sejak itu aku mula melakar puisi-puisi cinta (yang ini untuk tatapan sendiri) dan patriotik untuk dihantar ke pertandingan peringkat sekolah. Aku paling cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu, dan apabila masuk tingkatan 4, aku amat sukakan subjek kajian sastera. (kecuali Pasir Salak dan Bukit Kepong. Aku kurang sensitif tentang watak yang pelbagai. Keliru aku siapa siapa).

Setelah mendapat 10A dalam SPM, sudah tentu semua mengharapkan aku menjadi doktor/jurutera/peguam, etc. You know, all the big ambitions. Dan aku teruskan dengan doktor, memandangkan keluarga aku, sememangnya terdiri daripada  doktor-doktor. Aku masih dapat mengarang di KMB, dan sudah tentu subjek ini aku mendapat markah yang tinggi. Di Ireland pula, di celah-celah kesibukan ke kuliah dan melancong, aku temui satu outlet untuk mengarang, iaitu blog ini. Dan dari blog ini, aku mendapati yang bakat aku sudah makin terkikis dan makin limited. Kalau dulu, aku mampu menulis tentang apa-apa di bumi ini. Namun, kini, aku hanya dapat menulis tentang satu:

Perasaan.



Entah kenapa bakat aku hanya di situ. Mungkin selama beberapa tahun ini, setelah melalui pelbagai pertemuan dan perpisahan, setelah hati aku dipecahkan berkali-kali, setelah aku memecahkan hati orang berkali-kali, setelah pelbagai ragam dan personaliti yang aku kenal, hanya itu sahaja pengalaman hidup aku yang boleh dijadikan inspirasi. Hanya itu sahaja subjek yang dekat di hati aku. What is a better teacher than your own experience, kan?

Minat membaca aku sudah agak terpesong dan lari dari norma yang dulu. Kalau dulu, di sekolah menengah, seringkali aku meluangkan masa membaca buku-buku hasil sasterawan, yang berkisar tentang alam, kemanusiaan, kesusahan dan tragedi. Ayah aku rajin membawa kami ke jualan buku Dewan Bahasa dan Pustaka di Keramat, dan aku akan berasa seolah aku di syurga aku sendiri, memilih buku demi buku. Sewaktu ayah aku membuat PhD di UKM, aku akan ikut dia ke perpustakaan untuk memilih buku-buku yang begini. Di sekolah menengah pun aku begitu. Sesibuk-sibuk aku dengan pelajaran, aktiviti, kokurikulum dan bercinta monyet, aku masih setia ke perpustakaan dan mencari buku yang berkualiti. Namun sekarang, aku hanya membaca buku novel Inggeris yang temanya ringan dan bersahaja. Itupun kalau aku rajin. Kalau tidak, membelek Facebook dan Instagram sahajalah aku.

Aku teringin juga menulis tentang perkara lain di sekeliling aku. Tentang dunia. Tentang kesengsaraan. Tentang kebahagiaan. Tentang tragedi. Tentang alam. Tentang perubatan. Cuma aku rasa, aku kurang pengalaman dari segi ini. Pengalaman sebegini sudah hanyut ditelan masa, ditekan ke dalam oleh perkara-perkara lain yang cetek kepentingannya.

Aku rindu menulis, tentang perkara that matters.

***

Semalam, baru sahaja aku menonton Ada Apa Dengan Cinta 2. Dan puisi-puisinya, (oleh M. Aan Mansyur) aduh, sungguh meruntun jiwa ini. Berputar-putar aku memainkan bait sajak-sajak yang diucapkan oleh Rangga, cuba menyelami satu-satu mesej yang cuba disampaikan. The poems are just incredible. Perasaan tenang membacanya,

BATAS


Sajak utama untuk cerita ini. Bahasanya ringkas, tetapi setiap patah perkataan yang diguna, gabungan menyampaikan satu mesej yang amat mendalam. Tentang setiap perkara di dunia ini, ada garisan yang memisahkan antara satu sama lain. Jurang. Jarak. Lubang. Pengakhiran. Pemisahan. Satu paksi di tengah yang kalau dilintasi, akan membawa ke satu daerah yang lain. Had.

Dan garisan ini yang menentukan segalanya dalam hidup kita. Antara hidup dan mati. Antara kasih dan tidak. Antara sayang dan tidak. Antara seseorang dengan seseorang.

Yang betul mengena tepat di hati aku adalah dua baris ini:

Bait "Atau senyummu, dinding diantara aku dan ketidakwarasan". Betapa senyum kekasih penulis sajak ini, menggaris di antara cinta dan kehilangan pertimbangan. Antara logik dan perasaan. Yang kalau diberat ke sebelah sini sedikit, maka hilanglah pertimbangan kerana terlalu sayang dan terlalu cinta, dengan hanya satu senyuman.

Bait terakhir, "Apa khabar hari ini? Lihat, tanda tanya itu, jurang antara kebodohan dan keinginanku memilikimu sekali lagi." Satu pertanyaan yang bersahaja, sebenarnya penuh dan sarat dengan kehendak dan kemahuan untuk kekasihnya kembali. Pernah tak kau mengalami, di mana apabila kau ditinggalkan/meninggalkan seseorang itu, dan tiba-tiba penyesalan menyelubungi diri dan merayu agar kau kembali mencari. Dan ayat pertama yang kau akan ucapi ke dia, sudah tentu "Apa khabar?" (dan yang sewaktu dengannya). Pertanyaan itu, yang menjadi satu garisan di antara keinginan dan kewarasan. Antara ego dan kemahuan. Ludah yang dijilat kembali vs kesedaran yang kau telah hilang satu bahagia yang selama ini ada.


PUKUL 4 PAGI.

Sajak ini, diungkapkan oleh Rangga pada saat-saat si Cinta memutuskan untuk kekal dengan Trian, dan meminta agar Rangga tidak bertemu dan memikirkan dirinya lagi. Dan si Rangga aku dan mengundur diri tanpa rela. Hanya beberapa bait yang diungkapkan, namun isinya amat mendalam dan membuat aku tercari-cari sajak ini.

Sajak ini, tentang seseorang yang sudah putus cinta. Yang sudah kehilangan dan keberantakan. Perenggan pertama menggambarkan yang kehilangan itu sudah menjadi pasti dan final. Yang tidak ada cara mahu meyakinkan lagi. Dan alam seolah-olah cuba melagukan perpisahan yang dialaminya. Dan kesedihan yang dirasai, diharap pihak yang lagi satu pun turut merasai, bukan hanya sendiri yang pedih di hati.

Perenggan kedua yang paling membuatkan aku tertarik. "Kadang-kadang kau fikir lebih mudah mencintai semua orang daripada melupakan satu orang.". Betul, kan? Sememangnya untuk menyukai, menyayangi dan seterusnya mencintai adalah terlalu mudah, terlalu sekejap, dan kau tidak perlu berusaha terlalu pun untuk memiliki perasaan yang sebegitu. Perasaan bahagia itu senang untuk didatangkan, walaupun kadang-kadang terjadinya pada orang yang tidak betul-betul menghargai dan layak dicintai pun. Sesiapa pun boleh hadir dan merangkul kasih sayang dan perhatian kau. Kau tidak perlu berfikiran waras pun untuk mewujudkan perasaan ini.

Namun, untuk melupai, amatlah sukar. Seperti yang aku pernah katakan sebelum ini, when you love somebody and he left you, you will never be able to forget him, unless you have amnesia or Alzheimer.  Selagi jantung masih berdenyut dan otak masih gigih bekerja, selagi itu kau tidak akan dapat lupakan perasaan yang telah wujud kepada seseorang yang kau betul-betul sayang. Tidak kira betapa teruk kau dilayan, tidak kira betapa pecah hati kau dideraikan, tidak kira betapa hancur perasaan kau dilanyakkan. Air mata yang mengalir itulah bukti yang paling ketara sekali. Dan ketidaklupaan ini, kau akan bawa sampai mati. Tidak kira siapa yang kau jumpa selepas ini, yang kau sayang selepas ini, yang kau bersama sampai mati, ingatan terhadap seseorang itu, the one who got away, akan berkekalan.

Bukan bermaksud kau tidak sayang yang baru ini. Seperti ayat sebelumnya, kau akan belajar menyayangi semula walaupun kau sudah dikecewakan. That's how easy it is to love somebody. Lambat laun kau akan belajar juga menyembuhkan hati yang dilukai. Namun, ingatan terhadap yang dilepaskan ini, kau perlu simpan dan tusuk sedalam-dalamnya ke belakang minda, dan cuba harungi hidup sehari demi sehari tanpanya. Kau akan belajar untuk hidup sendiridan melangkah ke depan.

Bait seterusnya, "Jika ada seseorang terlanjur menyentuh inti jantungmu, mereka yang datang kemudian hanya akan menemukan kemungkinan-kemungkinan". Aku rasa ayatnya sudah jelas bukan. Sekiranya yang ditinggalkan/meninggalkan itu yang paling agung di hati kau, ingatan kau terhadap si dia yang paling kuat dan yang paling lama, kemungkinan besar setiap kali kau bertemu yang baru, kau sudah setkan satu garisan, satu threshold yang perlu dicapai berdasarkan si dia. Dan sudah tentu yang selepas-selepas ini, tidak akan sama dengan si dia yang satu.

Itu sahaja, tafsiran sajak kita pada hari ini. :)

No comments: